Berita Harian
March 7, 2023
GAJI jurutera perisian di Singapura melonjak 7.6 peratus ke paras tertinggi sepanjang masa pada 2022, menurut laporan gaji teknologi tahunan yang dikeluarkan pada Selasa.
Persaingan bakat dalam industri teknologi menaikkan gaji dalam sektor itu di Singapura tahun lalu, walaupun peningkatan kecerdasan buatan (AI) mungkin merubah jenis kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi.
Mneurut laporan The Straits Times, gaji asas median ialah $5,000 untuk jurutera muda, $8,000 untuk jurutera kanan dan $13,750 untuk pengurus kejuruteraan, kata laporan platform bakat teknologi NodeFlair dan pemecut teknologi Iterative.
Pada persentil ke-90, gaji masing-masing mencecah $8,500, $12,000 dan $19,000 – tiga kali ganda pendapatan mereka yang berada dalam 10 peratus terbawah.
Pekerjaan teknologi lain yang menyaksikan kenaikan gaji ketara di Singapura pada 2022 termasuk jurutera mudah alih, jurutera blockchain dan jurutera data.
Enam daripada 15 syarikat teratas yang paling dicari – diungguli oleh syarikat induk TikTok ByteDance – yang membayar pekerja sekurang-kurangnya 20 peratus lebih tinggi daripada median pasaran, kata NodeFlair.
Selebihnya membayar sekurang-kurangnya 10 peratus lebih tinggi, tambahnya.
Encik Ethan Ang, ketua eksekutif dan pengasas bersama NodeFlair, berkata permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk profesional teknologi berkemahiran tinggi “memacu gaji ke paras tertinggi”.
“Memandangkan syarikat merentasi pelbagai industri semakin bergantung pada teknologi untuk memacu pertumbuhan, nilai bakat teknologi tidak pernah lebih tinggi sebelum ini,” katnya.
Tetapi “tawaran gaji yang merugikan” yang diberi kepada pekerja teknologi pada tahun-tahun sebelumnya mungkin berkurangan, kata NodeFlair.
Sejak November, lebih 100,000 pekerja dalam industri teknologi telah diberhentikan di seluruh dunia berikutan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi.
Encik Ang berkata industri teknologi akan terus menghadapi cabaran dalam menarik, memberi pampasan dan mengekalkan bakat terbaik.
Landskap pengambilan pekerja juga akan berubah kerana majikan menangani gangguan teknologi terkini alat AI generatif yang dicetuskan oleh keluaran awam ChatGPT pada November.